KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan senarai 73 calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah), menandakan persiapan rapi parti itu untuk menghadapi pertandingan yang dijangka sengit di seluruh negeri.
Pengumuman rasmi dibuat oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu majlis di ibu pejabat parti di sini.
Shafie berkata, calon-calon yang diumumkan mewakili pelbagai latar belakang dengan fokus utama kepada penyertaan golongan muda, wanita dan muka baharu.
“Daripada jumlah calon yang diumumkan, 30 peratus terdiri daripada calon muda yang diharap dapat membawa suara dan aspirasi generasi muda Sabah.
“Penyertaan wanita juga mendapat perhatian khusus dengan lebih 10 peratus calon wanita yang diketengahkan, selari dengan usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam arena politik negeri,” katanya.
Beliau berkata, Warisan turut menampilkan lebih 60 peratus calon muka baharu, bagi menampilkan pembaharuan dan membawa idea segar dalam pentadbiran negeri.
“Langkah ini diambil untuk memastikan parti sentiasa relevan dan dinamik dalam menghadapi cabaran pembangunan Sabah.
“Pemilihan calon dibuat dengan teliti berdasarkan ketokohan, kemampuan untuk memperjuangkan hak rakyat serta kesesuaian calon dengan kehendak dan keperluan komuniti setempat.
“Calon-calon ini akan berjuang membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri bagi memperkukuh kestabilan dan pembangunan di Sabah,” katanya.
Shafie sendiri akan bertanding di kerusi Senallang manakala beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin berpengalaman turut bertanding di kerusi masing-masing.
Shafie menyeru seluruh penyokong dan rakyat Sabah supaya memberikan sokongan padu kepada calon-calon yang diumumkan demi memastikan kelangsungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“PRU17 Sabah dijangka berlangsung tidak lama lagi dan Warisan bersedia menghadapi cabaran dengan barisan calon yang mantap.
“Dengan pengumuman rasmi 73 calon ini, Warisan menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat Sabah serta memastikan suara kita didengar dalam pentadbiran negeri.
“Warisan optimis barisan calon ini mampu memperkukuh kedudukan parti dalam pilihan raya negeri kali ini dan memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah secara menyeluruh,” katanya.







