PITAS: Wanita memainkan peranan penting sebagai tonggak keluarga dan penggerak perpaduan masyarakat, khususnya dalam membentuk keluarga harmoni serta komuniti yang sejahtera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi berkata, sumbangan wanita bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan keluarga, malah turut merangkumi penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan usaha memperkukuh perpaduan komuniti.
“Wanita adalah antara penggerak kemerdekaan negara dan memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan serta kesejahteraan kehidupan.
“Penglibatan wanita dalam pelbagai program komuniti membuktikan golongan ini mempunyai peranan besar dalam menyemai semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Wanita, khususnya ibu, turut menjadi contoh dan sumber bimbingan utama kepada anak-anak dalam membentuk sahsiah serta nilai kehidupan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Pitas di Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Kampung Kalumpang, di sini, Isnin.
Harun berkata, anak-anak merupakan pelapis masa depan negara dan mereka memerlukan bimbingan ibu bapa serta perhatian yang sewajarnya bagi memastikan perkembangan sahsiah dan pendidikan mereka berada pada landasan yang betul.
“Penglibatan aktif wanita dalam komuniti perlu terus digalakkan kerana kekuatan keluarga dan perpaduan masyarakat memerlukan sumbangan serta kerjasama semua pihak,” katanya.
Terdahulu, program berkenaan diisi dengan ceramah Maghrib bertemakan kemerdekaan dan Maulidur Rasul, selain penyerahan zakat wakalah oleh Telekom Malaysia (TM) Sabah kepada masjid berkenaan serta 20 asnaf dari Kampung Kalumpang, Pitas.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam TM Sabah, Nurul Izza Ripin; serta Timbalan Pengerusi Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Johan Amin.-Penerangan.

KENANGAN …. Harun (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama para hadirin.



