Tiga maut, tiga cedera dalam kemalangan di Kunak

KUNAK: Tiga maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Perodua Viva di Kilometer 7, Jalan Kunak-Semporna, di sini, Selasa.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong berkata, kemalangan berlaku kira-kira 6.03 petang ketika kenderaan yang membawa enam individu, termasuk pemandu, dua dewasa dan tiga kanak-kanak, dipercayai terbabas sebelum terbalik.
Menurutnya, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kalabakan menuju Kampung Sungai Langgas apabila pemandunya hilang kawalan.
“Pemandu dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah manakala dua yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Kunak untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Rejali berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Dalam kejadian berasingan di Kinabatangan awal pagi Rabu, sebuah bangunan pejabat jenis kekal di sebuah ladang musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran.
Panggilan kecemasan diterima menerusi sistem NG999 pada 5.17 pagi, dengan lokasi kejadian kira-kira 140 kilometer dari balai bomba.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan diketuai PBK I Mohamud Punya tiba di lokasi pada 9.18 pagi dan mendapati bangunan berukuran 20 x 40 kaki itu hampir keseluruhannya terbakar.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos bantuan sehingga api berjaya dikawal, sebelum kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa dilakukan bagi memastikan tiada punca api menyala semula.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu.

KEMALANGAN …. Kenderaan terbabit terbalik dalam kemalangan maut di Kunak, Selasa.