TENOM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Datuk Rahmahjan Sulaiman, bertekad bekerja sehabis baik untuk merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Sabah 29 November ini.
Menurutnya, DUN Kemabong yang dahulunya merupakan kubu kuat BN perlu dikembalikan semula selepas terlepas kepada parti lawan dalam dua PRU Sabah lalu.
“Kita tahu Warisan dan calon bebas pernah menang di DUN Kemabong pada PRU Sabah yang lepas.
Jadi, saya perlu bekerja keras untuk merampas semula kerusi itu pada PRU kali ini,” katanya selepas sesi penamaan calon di sini, pada Sabtu.
Dalam PRU Sabah kali ini, Rahmahjan berdepan saingan daripada beberapa tokoh tempatan termasuk Noorita Sual (DAP), Datuk Rubin Balang (GRS), Yabri Ono (KDM) dan Burnley Balang (Warisan).
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk bertanding di DUN Kemabong.
Rahmahjan berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab dan cabaran sebagai calon dalam PRU kali ini.
Mengenai misi dan visinya untuk rakyat Kemabong, beliau menegaskan komitmen untuk mempertingkatkan program pembangunan demi kesejahteraan masyarakat setempat sekiranya diberi mandat.
Fokus utama beliau ialah memperkukuh pembangunan infrastruktur termasuk bekalan air bersih, kemudahan elektrik yang stabil dan penambahbaikan jalan kampung.
“Saya melihat masih banyak yang perlu dilakukan, terutama dari segi kemudahan infrastruktur di kawasan Kemabong. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat jika diberi kepercayaan,” katanya.
Selain itu, Rahmahjan turut memberi perhatian kepada usaha pembasmian kemiskinan, peningkatan ekonomi dan hasil pertanian, penjagaan kesihatan, pembangunan wanita dan belia, termasuk sektor pendidikan, latihan serta kemahiran.
“Saya juga berazam memperkasakan industri pelancongan, termasuk memperbanyakkan tarikan berasaskan budaya tempatan, inap desa, serta pelancongan pertanian dan keindahan semula jadi kawasan pedalaman,” katanya.-JT

BN selepas pengumuman calon bagi kerusi DUN Kemabong
pada Sabtu.







