Oleh JOHN TAMBANAN
BEAUFORT: Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, berazam untuk meneruskan visi dan misi membangunkan kawasan itu sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah Ke-17.
Beliau berkata, visi dan misi yang dibawanya sejak 2013 itu berpaksikan slogan “Aspirasi Menuju Transformasi”, selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang Kuala Penyu.
Menurutnya, kerajaan telah merangka pelan pembangunan komprehensif melalui Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok, yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, baru-baru ini.
“Pelan pembangunan ini adalah komitmen jangka panjang kita untuk membawa kemajuan menyeluruh ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengemukakan kertas pencalonan bagi kerusi DUN Kuala Penyu, di sini, pada Sabtu.
Pada PRN kali ini, Limus akan berdepan saingan lima penjuru — Ginsik @ Annie Ginsik (PIS), Dr. Monih Epin (WARISAN), Datuk Awang Aslee Lakat (BN-UMNO), Walther Philip Michael (STARSABAH) dan Jonehtan Matheus (PKS).
Kawasan DUN Kuala Penyu mempunyai 22,288 pengundi berdaftar. Pada PRN 2020, Limus memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,273 undi.
Limus turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji selaku Ketua Menteri dan Pengerusi GRS atas keyakinan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau menyifatkan pencalonan itu sebagai satu amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Saya menghargai sokongan rakyat Kuala Penyu selama ini dan berharap ia diteruskan demi masa depan yang lebih baik. Saya komited untuk memajukan daerah ini dalam semua aspek termasuk prasarana, pendidikan, pelancongan dan lain-lain,” katanya.






