PULAU BANGGI (Kudat): Dr Azlan Shafie Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Raymond Majumah, secara rasmi menawarkan diri sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Banggi pada Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17.
Beliau merupakan calon ke-10 yang bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Dengan pengalaman lebih tiga dekad menetap dan berkhidmat di Pulau Banggi, Dr Azlan tampil sebagai calon yang dekat di hati rakyat serta memahami denyut nadi komuniti setempat.
Beliau menetap di Kampung Sabur dan turut memiliki rumah sewa di kawasan Karakit, menjadikannya sentiasa berada dalam lingkungan masyarakat Banggi.
Dr Azlan memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dan pernah berkhidmat sebagai guru di Banggi serta pegawai di Pejabat Pendidikan Kudat. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai penulis dan aktivis komuniti yang aktif membantu pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.
“Saya bukan orang luar. Saya telah berada di Banggi selama 32 tahun. Saya kenal setiap pelusuk pulau ini, termasuk Pulau Balambangan, Pulau Manawali dan Pulau Tigabu,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya membantu masyarakat dalam pelbagai urusan seperti permohonan melanjutkan pelajaran ke universiti, kursus peningkatan kemahiran, serta usaha-usaha pembangunan komuniti.
Keupayaan Dr Azlan bertutur dalam beberapa bahasa tempatan seperti Bonggi, Ubian, Suluk, Bajau Sama dan Kagayan turut menjadi kelebihan besar dalam mendekati masyarakat pelbagai etnik di Banggi.
Dengan latar pendidikan yang kukuh, pengalaman kerja yang luas serta komitmen mendalam terhadap pembangunan masyarakat, pencalonan Dr Azlan dijangka membawa nafas baharu dalam landskap politik Banggi.









