Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin di Idang Residen, Luyang pada Jumaat bagi memberikan penghormatan terakhir.
Hajiji menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri, khususnya di kawasan diwakilinya.
“Sebagai sahabat lama, saya amat bersimpati dan mengingati Allahyarham, khususnya ketika beliau melalui tempoh kesihatan yang tidak menentu sebelum ini.
Bagi pihak keluarga dan Kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Bung Moktar.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya kepada media selepas menziarahi jenazah.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles.

AMINKAN DOA …. Hajiji mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Allahyarham DSP Bung Moktar Radin di Idang Residen, Luyang, pada Jumaat.






