MAFFI akan adakan libat urus khas

Tangani isu harga ayam, kurangkan peranan orang tengah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan mengadakan satu sesi libat urus khas bersama pengusaha ayam, pengimport dan pengguna dalam masa terdekat bagi menangani isu harga ayam serta peranan orang tengah dalam rantaian bekalan di Sabah.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata sesi tersebut dijangka diadakan sebelum sambutan Krismas, seusai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita akan adakan sesi libat urus secepat mungkin, kalau boleh sebelum Krismas. Kita mahu duduk semeja dengan pengusaha, pengimport dan pengguna untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui semasa melakukan kunjungan hormat ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Kota Kinabalu, di sini.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong.
Jamawi berkata antara perkara yang akan dibincangkan ialah usaha mengurangkan peranan orang tengah yang didakwa menjadi punca harga ayam tempatan lebih tinggi berbanding ayam import.
“Apabila harga ayam tempatan lebih mahal, pengguna beralih kepada ayam import. Ini menyebabkan pengusaha tempatan mengadu perniagaan mereka terjejas.
Pengguna pula mahukan harga murah, tetapi dalam banyak keadaan, harga dari pengusaha ke pengguna telah dimainkan oleh orang tengah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Sabah Agricultural Marketing Authority (SAMA), agensi pemasaran baharu di bawah MAFFI yang bertanggungjawab mengawal selia rantaian pemasaran hasil pertanian, penternakan dan perikanan.
“Kerajaan amat menghargai keputusan Ketua Menteri mengaktifkan semula SAMA sebagai sebuah agensi pemasaran. Dalam tempoh lima tahun ini, kita akan memperkasakan SAMA untuk mengatasi peranan orang tengah,” katanya.
Menjelaskan kedudukan pasaran, Jamawi berkata kadar sara diri (SSL) ayam di Sabah kini berada sekitar 95 peratus, namun sebahagian kecil masih bergantung kepada import, termasuk isu berkaitan penyeludupan.
“Kalau kita dapat kawal sepenuhnya permintaan dan penawaran, kita boleh kurangkan kebergantungan kepada import. Tetapi beberapa produk seperti kepak ayam masih perlu diimport kerana permintaan sangat tinggi — seekor ayam cuma ada dua kepak,” katanya berseloroh.
Beliau berkata kerajaan mahu memastikan harga ayam tempatan kembali kompetitif bagi mengurangkan penyeludupan serta melindungi pengusaha tempatan.
“Jika harga ayam tempatan lebih baik dan kompetitif, tidak akan timbul keperluan membawa masuk ayam import secara tidak terkawal. Ini juga boleh mengurangkan risiko kemasukan barang tidak halal atau tidak selamat,” tegasnya.
Jamawi berkata langkah akan digerakkan termasuk memperkemas data pasaran, menyelaras bekalan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan.
“Yang penting, rakyat mendapat harga berpatutan, pengusaha kekal berdaya saing dan peranan orang tengah dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa beberapa pengumuman susulan akan dibuat selepas sesi libat urus dilaksanakan dalam masa terdekat.
Turut hadir Dr Mary Josephine Golongai, yang turut memberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

PENERANGAN … Jamawi (tengah), Dr Mary (kiri) dan yang lain mendengar penerangan daripada Leonard.