Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Masyarakat setempat diseru agar terus berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan bagi memastikan sistem pentadbiran berjalan lancar serta telus hingga ke peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penglibatan aktif rakyat merupakan antara mekanisme terbaik untuk meningkatkan keberkesanan jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan, selain menjadi medium penyelesaian isu secara lebih efisien.
Menurut beliau, kerjasama orang ramai khususnya penduduk di kawasan DUN Tanjung Keramat amat diperlukan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang permasalahan setempat dapat ditangani dengan segera.
“Kita mahu penyampaian pentadbiran kerajaan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan bukan sekadar retorik.
“Berkaitan isu setempat, salurkan maklumat melalui medium yang disediakan dan bagi pihak saya, saya sendiri akan turun padang untuk mengenal pasti sebarang permasalahan yang timbul.
“Sehubungan itu, saya mengajak seluruh masyarakat di DUN Tanjung Keramat agar menjadi mata dan telinga kerajaan supaya perkhidmatan serta isu yang wujud dapat diselesaikan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di sekitar Taman Pantai Lok Kawi, di sini, hari ini.
Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Dalam program berkenaan, SAY turut melakukan tinjauan di kawasan tamu, kawasan riadah penduduk serta pusat niaga di lokaliti taman tersebut.
“Saya berpeluang mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan beberapa peniaga, penduduk dan orang awam, di mana pelbagai isu telah dikemukakan kepada pihak kami.
“Antara permasalahan yang dibangkitkan termasuk penyediaan tandas awam, lampu jalan, tempat pembuangan sampah, penyelenggaraan padang futsal serta kemudahan rekreasi,” katanya.
Tambah beliau, semua isu berkenaan akan dibawa kepada pihak berwajib, sambil menegaskan kebajikan dan keselesaan penduduk serta peniaga di Taman Pantai Lok Kawi sentiasa menjadi keutamaan beliau selaku wakil rakyat kawasan itu.

RAMAH MESRA …. SAY (kiri) beramah mesra dengan seorang peniaga di tamu Taman Pantai Lok Kawi, Putatan sempena program walkabout berkenaan.







