SK Bukit Padang raikan kecemerlangan murid Tahun 6 dan Prasekolah

KOTA KINABALU: Suasana penuh gemilang menyelubungi Ballroom Hotel 7 Suria, Suria Sabah apabila Majlis Apresiasi Tahun 6 dan Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang, Kota Kinabalu berlangsung dengan penuh harapan, senyuman dan tepukan gemuruh para hadirin.
Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian akademik serta pembentukan sahsiah murid Tahun 6 dan Prasekolah. Murid prasekolah diraikan sebagai permulaan perjalanan pendidikan mereka, manakala murid Tahun 6 dilepaskan dengan bekalan ilmu dan nilai murni bagi menghadapi alam persekolahan menengah.
Selain meraikan murid, majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai peranan guru dan ibu bapa sebagai tunjang utama kejayaan anak-anak.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Encik Krishna K.S @ Mohd Fadzli bin Haji Abd Rozan, ketika merasmikan majlis berkata pendidikan awal yang kukuh merupakan asas penting dalam membentuk generasi berdisiplin dan berakhlak mulia.
“Hari ini kita bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, tetapi juga menekankan nilai-nilai murni dan disiplin yang menjadi asas pembentukan sahsiah generasi muda. Pendidikan yang bermula sejak awal akan menentukan kejayaan dan masa depan negara,” katanya.
Beliau turut berharap murid yang diraikan akan menjadi pencinta ilmu, pewaris pengetahuan dan terus berusaha mengejar cita-cita demi masa depan yang cemerlang serta membalas jasa kedua ibu bapa dengan kejayaan membanggakan.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sentiasa menyokong usaha pihak sekolah dalam mendidik dan membimbing murid demi kecemerlangan serta kemenjadian murid.
“Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada para guru atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam mendidik anak-anak murid, serta kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Guru Besar SK Bukit Padang Kota Kinabalu, Ahmad Roshni Haji Mohd Khalid; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Kinabalu, DSP Dg Nur Azarinawaty binti Ag Kachee; Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Mat Shater bin Awang; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Puan Liew Ai Chang; Guru Besar SK Bundung Tuaran, Nazri bin Jalil; Yang Dipertua PIBG SK Bukit Padang Kota Kinabalu, Jonnas Joitol; serta GPK Kokurikulum SK Bukit Padang Kota Kinabalu, Puan Siti Normidah binti Awang Besar.
Seramai 53 murid prasekolah dan 102 murid Tahun 6 menerima sijil penghargaan masing-masing, manakala lebih 315 ibu bapa dan warga sekolah hadir memeriahkan majlis tersebut.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik, antaranya persembahan murid prasekolah, tarian murid arus perdana, persembahan angklung oleh murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta tiupan saksofon.
Sementara itu, Ahmad Roshni merakamkan penghargaan kepada tetamu jemputan, ibu bapa, PIBG serta komuniti setempat atas sokongan berterusan terhadap semua aktiviti dan program sekolah.
Beliau berkata kejayaan murid hari ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan komuniti, selain menyifatkan guru sebagai arkitek utama kejayaan murid.
Majlis berkenaan, katanya, diharap menjadi pemangkin semangat kepada murid untuk terus berusaha mencapai kejayaan, di samping menonjolkan peranan penting pendidikan awal dan sekolah rendah dalam membina masa depan negara.
Dalam pada itu, GPK Kokurikulum, Puan Siti Normidah Awang Besar berkata kejayaan murid yang diraikan merupakan titik permulaan kepada langkah yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, staf dan pihak terlibat yang telah menjayakan majlis apresiasi berkenaan.

PERARAKAN MASUK…Mohd Fazli Haji Abd Rozan dan Ahmad Roshni ketika perarakan masuk ke ballroom

GRADUASI…gambar Tetamu jemputan dan penyampaian graduasi Tahun 6

KENANGAN…Mohd Fadzli, tetamu jemputan bersama guru-guru SK Bukit Padang.