Berkhatan beramai-ramai terus terima sambutan di Putatan

PUTATAN: Program berkhatan beramai-ramai terus mengukuhkan kedudukannya sebagai inisiatif komuniti berimpak tinggi apabila lebih 150 kanak-kanak menyertai penganjurannya di daerah Putatan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, program tahunan yang dianjurkan di peringkat Parlimen dan DUN itu kekal relevan serta menjadi pilihan utama ibu bapa dalam menunaikan tuntutan agama Islam bagi anak-anak mereka.
Menurutnya, seramai 151 peserta telah berdaftar bagi Majlis Berkhatan Perdana sempena musim cuti persekolahan tahun ini yang dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Putatan bersama DUN Tanjung Keramat.
“Alhamdulillah, program ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi platform awal dalam membentuk disiplin serta jati diri anak-anak sebagai Muslim, selari dengan tuntutan agama yang menekankan kepentingan berkhatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut dilaksanakan secara konsisten setiap tahun dan terus menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
SAY berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana anjuran pihaknya bersama Pejabat Parlimen P.173 Putatan yang berlangsung di Masjid Daerah Putatan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa program berkenaan dilaksanakan serentak di lima lokasi sekitar Putatan melibatkan masjid dan surau terpilih bagi memastikan kelancaran serta akses yang lebih menyeluruh kepada komuniti.
Antara lokasi terlibat ialah Masjid Daerah Putatan, Masjid Kariah Sembulan, Masjid Al-Jannah Kampung Petagas, Surau PPR Sri Keramat serta Masjid Taqwa, Kinarut.-JT

HADIR …. SAY hadir memeriahkan Majlis Berkhatan Perdana peringkat Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat.