Oleh JOHN TAMBANAN
KUNDASANG: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mengumumkan pelancaran rasmi Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu yang baharu, sebagai langkah strategik memperkukuh kelestarian dan tadbir urus tapak warisan bertaraf antarabangsa itu.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, ketika merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia ke-25 Tahun, sekali gus melancarkan pelan pengurusan berkenaan, di sini, hari ini.
Menurut Jafry, pelan baharu itu merupakan dokumen strategik utama yang akan menjadi panduan jangka panjang dalam memastikan kelestarian Taman Kinabalu, selaras dengan dasar-dasar negara dan negeri, termasuk Dasar Perubahan Iklim Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Mampan Sabah.
“Pelan ini memberi penekanan kepada empat tonggak utama, iaitu adaptasi perubahan iklim, kawalan kapasiti pelawat, pengurusan risiko bencana dan kesejahteraan, serta penginstitusian peranan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Taman Kinabalu mengekalkan status Tapak Warisan Dunia selama 25 tahun adalah hasil ekosistem tadbir urus perlindungan yang holistik dan berlapis.
“Taman Kinabalu bukan sekadar mercu tanda geografi, tetapi merupakan khazanah alam, arkib biodiversiti dunia serta lambang hubungan harmoni antara manusia, alam dan nilai spiritual yang diwarisi turun-temurun,” katanya.
Di peringkat global, katanya, pengurusan Taman Kinabalu terus mematuhi prinsip dan garis panduan di bawah Konvensyen Warisan Dunia UNESCO bagi memastikan perlindungan Outstanding Universal Value dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.
Di peringkat serantau pula, pengiktirafan sebagai Taman Warisan ASEAN (ASEAN Heritage Park) mengiktiraf peranan kepimpinan Sabah dalam konservasi biodiversiti Asia Tenggara.
“Di peringkat nasional, pengurusan tapak ini diselaraskan dengan dasar-dasar utama negara seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan Dasar Perubahan Iklim Negara, manakala di peringkat negeri, Kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah melaksanakan mandat perlindungan secara strategik berlandaskan Enakmen Taman-Taman 1984 serta Pelan Strategik Taman-Taman Sabah,” katanya.
Menurut Jafry, keseluruhan kerangka tersebut memastikan perlindungan Taman Kinabalu dilaksanakan secara konsisten, berintegriti, telus dan boleh diaudit, sekali gus mengekalkan kepercayaan komuniti antarabangsa.
Beliau turut menekankan peranan penting penglibatan bersepadu pemegang taruh strategik, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain.
“Kerjasama rentas agensi ini memastikan pelaksanaan undang-undang, keselamatan awam, kesiapsiagaan bencana, pengurusan kecemasan dan penyelarasan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Jafry menegaskan bahawa dasar dan perundangan sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif komuniti setempat yang merupakan rakan strategik utama dalam pemeliharaan Taman Kinabalu.
“Komuniti memainkan peranan penting sama ada sebagai Malim Gunung, porter, renjer kehormat atau melalui Majlis Pemegang Adat Istiadat Gunung Kinabalu. Penglibatan ini memastikan pengurusan moden berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai tradisi, adat dan kesucian Gunung Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sebenar model pemuliharaan Taman Kinabalu terletak pada gabungan ilmu moden dan kearifan tempatan yang saling melengkapi.
Selain itu, katanya, keunikan Taman Kinabalu turut terserlah melalui kejayaan mengharmonikan dua status antarabangsa berprestij, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO dan UNESCO Global Geopark.
“Menerusi Model Imbangan, perlindungan ketat dilaksanakan di zon teras Tapak Warisan Dunia, manakala pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan dibenarkan di kawasan penampan Geopark. Pendekatan ini menjadikan Taman Kinabalu sebagai model rujukan global dalam pengurusan tapak warisan berstatus berganda,” katanya.
Jafry turut memaklumkan bahawa selaras dengan agenda sains UNESCO, Taman Kinabalu kini diperkukuh sebagai Hab Penyelidikan Ekosistem Gunung Tropika melalui kerjasama dengan institusi antarabangsa dari Asia dan Eropah yang telah menghasilkan penerbitan berimpak tinggi di peringkat global.
Beliau berkata, pengalaman gempa bumi Ranau pada 2015 menjadi titik perubahan penting dalam pengurusan risiko dan keselamatan, dengan penggunaan sistem pemantauan digital seperti EarthRanger bagi membolehkan pemantauan biodiversiti dan keselamatan secara masa nyata.
Dalam sektor pelancongan pula, Jafry menegaskan bahawa Taman Kinabalu mengamalkan prinsip kualiti mengatasi kuantiti, dibuktikan melalui pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) Gred Platinum serta pengiktirafan di peringkat ASEAN.
“Manfaat ekonomi daripada pelancongan ini diagihkan secara inklusif kepada komuniti setempat, selari dengan prinsip pembangunan mampan dan keadilan sosial,” katanya.
Menyentuh tema sambutan kali ini, “Meraikan Khazanah, Memperkasa Pelindungnya”, Jafry berkata ia mencerminkan pendekatan kerajaan yang seimbang dan berpandangan jauh, dengan mengiktiraf pencapaian masa lalu serta memperkukuh sistem perlindungan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

RASMIKAN …. Jafry (tengah) merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia ke-25 Tahun serta melancarkan Pelan Pengurusan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu di Kundasang.





