SEMPORNA: Polis daerah ini menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal di Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, pada 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, motosikal milik mangsa dilaporkan hilang selepas ditinggalkan di kawasan parkir kenderaan jeti berkenaan.
Menurutnya, suspek berjaya diberkas bersama motosikal yang dilaporkan hilang itu dalam tempoh kurang 12 jam selepas laporan polis dibuat, hasil kerjasama dan maklumat daripada orang awam.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis demi memastikan keselamatan komuniti. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) PDRM,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Tan berkata satu operasi khas dikenali sebagai Op Taring Mitra telah dijalankan pada 8 Januari lalu oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Semporna.
Operasi yang dilaksanakan di Pasar Malam The Gardens Kapalai, Pekan Semporna itu, dijalankan hasil maklumat awam dan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang didapati membawa guni mengandungi tujuh botol plastik berisi cecair disyaki air ketum.
Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek menemukan tambahan 15 botol plastik berisi cecair sama yang disimpan di dalam sebuah kotak ais, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan sebanyak 22 botol air ketum dengan nilai anggaran RM990.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut.-Oleh JAMES LEONG

SUSPEK (kanan) bersama motosikal yang dirampas selepas ditahan polis Semporna pada 18 Januari.






