KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai mengadakan lawatan ke tapak Projek Menaik Taraf Permukaan Jalan Raya di Jalan Gaya Blok D di sini semalam.
Beliau yang juga menteri bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), meninjau pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan.
Lawatan berkenaan juga bagi memastikan infrastruktur sedia ada berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk kegunaan orang ramai.
Dalam pada itu Joniston berkata, kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan serta pembersihan permukaan jalan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Ia bagi memastikan kawasan ini kelihatan kemas dan bersih, seiring imej Jalan Gaya yang menjadi antara lokasi tumpuan ramai,” katanya.
Jalan Gaya Blok D dijangka dibuka semula bagi penganjuran Pasar Malam Api-Api dan Tamu Minggu Jalan Gaya pada 30 Januari ini.
Pembukaan semula kawasan itu juga sekali gus membolehkan sekitar 18 penjaja untuk Pasar Malam Api-Api dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.
Sehubungan itu, orang ramai dan penjaja dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan demi keselesaan bersama.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah DBKK Datuk Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai DBKK.-JT

LAWATAN … Joniston (tengah) bersama Lifred, Robert serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai DBKK ketika membuat tinjauan pelaksanaan menaik taraf jalan di kawasan Jalan Gaya Blok D.





