Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk serta mengugut penduduk dalam satu kejadian di Kampung Hidayat, berhampiran Batu 4 Jalan Apas, pada 26 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika anggota Kenderaan Rondaan Bermotor (MPV) sedang menjalankan rondaan rutin sebelum menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung seorang individu bertindak agresif di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pasukan rondaan dengan bantuan dua lagi MPV berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
Hasil semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek merupakan individu dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan, Kota Kinabalu, tahun lalu.
Jasmin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut memiliki beberapa barangan berbahaya yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, termasuk pemutar skru, bilah pemotong kertas, bilah gunting dan sebatang besi. Kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan.
Beliau menjelaskan, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendiri apabila berdepan individu agresif atau mencurigakan.
Sebaliknya, maklumat hendaklah segera disalurkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan awam.

BERKAS …. Anggota MPV menahan suspek di Kampung Hidayat, Tawau pada Isnin.





