Dua lori bertembung, tiga termasuk bayi cedera

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Tiga termasuk seorang bayi tersepit di kabin lori selepas terbabit dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lori di Kampung Lebak Moyoh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, ketiga-tiga mangsa warga asing berusia 3 bulan hingga 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.29 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2 kilometer untuk membantu.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori 3.5 tan milik syarikat yang membawa muatan barangan runcit dan sebuah lori Isuzu 2 tan membawa muatan besi buruk.
“Terdapat tiga mangsa berada di dalam lori Isuzu 2 tan mengalami kecederaan akibat tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan Ambulans untuk rawatan lanjut.
Manakala katanya, pemandu dan kelindan lori kedua dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.06 pagi,” katanya.

BANTU … Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit.