Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Suasana cemas tercetus di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Batu 23, di sini, pada Sabtu selepas seekor ular tedung selar (King Cobra) bersaiz besar ditemui di dalam sebuah blok tandas semasa rondaan rutin, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pekerja ladang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui sistem kecemasan MERS NG999.
Menurutnya, sepasukan anggota APM segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pekerja serta mengawal keadaan.
“Seekor ular tedung selar dianggarkan sepanjang 4.5 meter dengan berat hampir 10 kilogram berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas oleh anggota APM yang lengkap memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE),” katanya.
Beliau berkata, operasi berkenaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kecederaan melibatkan pekerja ladang mahupun anggota penyelamat.
Ular tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam beg khas sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Operasi yang bermula pada jam 5.50 petang itu tamat sepenuhnya pada jam 7.36 malam dan kawasan berkenaan disahkan selamat.

DITANGKAP …. Ular tedung selar yang berjaya ditangkap oleh anggota APM Sandakan pada Sabtu.





