TONGOD: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) mendesak Kerajaan Negeri Sabah supaya segera mengambil tindakan pembaikan terhadap jalan raya yang rosak dan runtuh di Kampung Maliau, Jalan Tongod–Pinagah, yang didakwa berlarutan lebih dua tahun tanpa penyelesaian konkrit.
Ketua Wanita PERPADUAN, Puan Scholastica Taraji, berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana keadaan jalan tersebut bukan sahaja menjejaskan pergerakan harian penduduk, malah mengancam keselamatan nyawa rakyat.
Menurutnya, kebimbangan itu bertambah selepas berlakunya kemalangan baru-baru ini melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terperangkap dalam lubang besar akibat runtuhan jalan.
“Kerosakan ini bukan hanya berlaku di Kampung Maliau, sebaliknya turut melibatkan Kampung Soguan dan Kampung Pinagah. Laluan yang runtuh sehingga dijadikan kawasan pembuangan sampah jelas menggambarkan tahap kerosakan yang kritikal serta kegagalan penyelenggaraan infrastruktur asas di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Scholastica berkata, aduan dan keluhan penduduk telah disuarakan sejak sekian lama, namun sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit daripada pihak berwajib.
“Lebih membimbangkan, PERPADUAN dimaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mempunyai peruntukan untuk melaksanakan pembaikan jalan berkenaan.
“Alasan kekurangan peruntukan tidak boleh diterima apabila ia melibatkan keselamatan awam dan risiko kehilangan nyawa. Justeru, PERPADUAN mendesak kerajaan negeri agar menggunakan Dana Kecemasan bagi membaiki jalan-jalan yang berada dalam keadaan kritikal dan berbahaya,” tegasnya.
Beliau berkata, Dana Kecemasan diwujudkan khusus untuk menangani situasi luar jangka serta keperluan mendesak rakyat, dan kegagalan bertindak segera hanya akan meningkatkan risiko kemalangan serta penderitaan penduduk luar bandar.
“Saya juga difahamkan jalan ini berada di bawah kawal selia pihak konsesi jalan raya. Sekiranya pihak konsesi gagal melaksanakan penyelenggaraan dengan baik, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan penamatan konsesi dan menyerahkan kerja penyelenggaraan kepada kontraktor tempatan di Tongod,” katanya.
Scholastica menegaskan bahawa keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan dan kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan kemudahan asas seperti jalan raya berada dalam keadaan selamat serta boleh digunakan.
“PERPADUAN akan terus memantau, menyuarakan dan memperjuangkan isu ini sehingga tindakan segera diambil demi kepentingan dan keselamatan rakyat di Tongod serta kawasan sekitarnya,” katanya.-JT

Scholastica Taraji





