Dasar PTI mesti tersusun, telus dan bebas kepentingan politik

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong menggesa kerajaan agar menangani isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah sebagai keutamaan mendesak yang memerlukan pendekatan tersusun, telus dan tidak dipolitikkan.
Beliau berkata, ketiadaan tindakan yang konsisten dan berpanjangan telah mewujudkan pelbagai cabaran serius kepada Sabah, termasuk tekanan terhadap perkhidmatan awam, kesukaran penguatkuasaan undang-undang, ketegangan sosial serta kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat.
“Sekiranya isu ini terus ditangguhkan, kesannya bukan sahaja dirasai oleh generasi hari ini, malah berpotensi menjejaskan kestabilan masa depan Sabah dari segi tadbir urus dan keharmonian sosial.
“Tanpa pendekatan yang tersusun dan telus, populasi PTI akan terus berkembang tanpa kawalan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu akan meningkatkan tekanan terhadap sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan peluang pekerjaan, di samping melemahkan penguatkuasaan undang-undang serta kawalan sempadan.
“Semakin lama tindakan tegas ditangguhkan, semakin kompleks dan membebankan masalah ini untuk diuruskan pada masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, David menggesa Kerajaan memastikan semua pihak berkepentingan terlibat dalam setiap inisiatif berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan, majikan, masyarakat tempatan, pertubuhan masyarakat sivil serta parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang.
Beliau menegaskan bahawa sebarang bantahan atau kebimbangan perlu dibincangkan dan diselesaikan sebelum sesuatu dasar dibentangkan di Kabinet, bukannya selepas keputusan dibuat.
“Apabila hala tuju dasar telah dipersetujui, pelaksanaannya mesti dilakukan secara tegas, telus dan konsisten,” katanya.
David turut menjelaskan bahawa pemberian pas atau dokumentasi kepada individu tidak berdokumen bukanlah penyelesaian segera kepada isu PTI, namun ia merupakan langkah awal yang penting ke arah pengurusan yang lebih tersusun dan terkawal.
“Ia adalah permulaan kepada proses jangka panjang bagi memastikan masalah ini tidak terus memburuk dan dapat dikendalikan secara sistematik,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini terdapat pelbagai bentuk dokumen seperti kad burung-burung, sijil banci, IMM13 dan pas sementara lain yang digunakan, sehingga menyebabkan kekeliruan, termasuk dalam kalangan pegawai penguat kuasa sendiri.
“Dalam banyak keadaan, sukar untuk menentukan sama ada dokumen berkenaan adalah tulen, sah atau masih berkuat kuasa. Keadaan ini melemahkan penguatkuasaan dan menjejaskan kredibiliti sistem kawalan imigresen kita,” katanya.
Menurut David, pengenalan satu bentuk identiti tunggal yang mudah dikenal pasti dan boleh disahkan akan menjadi pendekatan menang-menang, bukan sahaja memudahkan tugas penguatkuasaan, malah memberikan kepastian kepada individu tidak berdokumen serta meningkatkan kawalan dan keselamatan di Sabah.
“Apa yang Sabah perlukan sekarang ialah kejelasan, struktur dan kemahuan politik yang kukuh untuk menangani isu PTI secara bertanggungjawab dan tegas,” katanya.

David Ong, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).