Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan ditahan selepas terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi, pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua lelaki berjaya ditahan di Taman Putra Perdana, Telipok, selepas dikejar hampir sejam dari kawasan Maktab Gaya, Luyang.
Malah, ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek turut bertindak agresif apabila bergelut dengan anggota kereta peronda polis (MPV) untuk cuba meloloskan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, semasa dikejar, kedua-dua suspek bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan, malah cuba mengancam anggota penguat kuasa dengan menghimpit kenderaan polis ke laluan bertentangan.
“Tindakan itu turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila suspek memandu secara melulu dan berisiko tinggi di beberapa laluan awam.
“Bagaimanapun, insiden berkenaan berakhir di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas akibat tayar belakang kenderaannya pecah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Kasim berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemui tiga batang kabel Telekom, peralatan memotong kabel, sepucuk pistol tiruan dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.
Katanya, pasukan polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.44 gram dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.
“Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A akta sama berkaitan kecurian kabel serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Terdahulu, kejadian melibatkan dua penjenayah terbabit berjaya dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.
Malah, kejadian turut menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen apabila ada yang mendakwa salah seorang anggota polis cedera ditikam suspek.
Bagaimanapun, polis mengesahkan anggota berkenaan hanya mengalami kecederaan biasa di kaki akibat bergelut dengan salah seorang suspek.
Sehubungan itu, Kasim menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang bertindak ganas terhadap anggota polis serta terlibat dalam jenayah yang menjejaskan keselamatan awal serta infrastruktur negara.
Katanya, orang awam turut dinasihatkan suoaya tidak terlibat atau bersubahat dalam kegiatan kecurian kabel dan diminta segera menyalurkan maklumat terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

SIDANG MEDIA …. Kasim semasa sidang media.






