Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Sabah menerima kunjungan Miss Globe 2025, Chayathanus Saradatta, sempena program HyperLive Influencer Tour in Sabah 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Februari ini.
Chayathanus yang berasal dari Thailand tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Selasa sebelum diraikan dalam majlis makan malam rasmi di The Crab House, yang turut dihadiri wakil media tempatan bagi sesi interaksi bersama pemegang gelaran antarabangsa itu.
Kunjungan beliau ke Sabah didorong minat untuk merasai sendiri kepelbagaian budaya negeri ini, komuniti yang dinamik serta keramahan rakyatnya. Pada masa sama, beliau memanfaatkan platform antarabangsa dimilikinya untuk berkongsi kisah positif, mempromosikan pelancongan serta menggalakkan impak sosial.
Chayathanus berkata, beliau sebelum ini mendengar pelbagai cerita menarik mengenai rakyat Sabah, makanan, budaya dan keindahan alam semula jadi daripada rakan pemegang gelaran serta pempengaruh antarabangsa lain, termasuk Miss Globe 2024, Diana Moreno, yang melawat Sabah tahun lalu.
Pengalaman yang dikongsikan itu mendorong beliau untuk menyaksikan sendiri keunikan Sabah dan berkongsi perjalanan berkenaan dengan pengikutnya di seluruh dunia.
Sepanjang berada di negeri ini, beliau dijadual menikmati pemandangan matahari terbenam ikonik Sabah, gaya hidup pesisir pantai serta lokasi-lokasi menarik.
Beliau turut akan melawat perkampungan budaya dan beberapa mercu tanda pelancongan terpilih bagi mendalami tradisi dan warisan negeri ini.
Selain itu, Chayathanus akan berinteraksi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan komuniti yang menyokong golongan kurang berkemampuan.
Beliau juga akan meluangkan masa bersama kanak-kanak dan keluarga dengan menyampaikan mesej harapan, keyakinan serta semangat positif.
Dalam lawatan berkenaan, beliau berpeluang menikmati hidangan tempatan sambil berinteraksi dengan masyarakat Sabah bagi memahami kehidupan harian mereka.
Sebagai menghargai warisan budaya negeri ini, beliau turut dijadual mengenakan pakaian tradisional Sabah ketika menghadiri lawatan budaya dan program bersama komuniti.
Menerusi perkongsian di media sosial, termasuk penceritaan, fotografi dan kandungan video, Chayathanus akan mempromosikan Sabah sebagai destinasi yang kaya dengan kehangatan, kepelbagaian budaya serta hubungan kemanusiaan yang bermakna kepada pengikut antarabangsa beliau.
Kerjasama HyperLive bersama pempengaruh global sebelum ini dilihat berjaya meningkatkan keterlihatan pelancongan serta memberi impak positif kepada komuniti di Sabah.
Tahun lalu, kunjungan Miss Globe 2024, Diana Moreno, mencetuskan penglibatan meluas di media sosial, liputan media serta maklum balas positif terhadap rakyat dan budaya Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive merangkap pemegang francais The Miss Globe Malaysia, Dr Sean Wong, berkata membawa pempengaruh global yang mempunyai minat tulen terhadap Sabah dapat membantu memperkenalkan keindahan, budaya serta nilai murni negeri ini kepada dunia, di samping memupuk impak sosial yang bermakna.

Miss Globe 2025 Chayathanus Saradatta







