TAWAU: Sebanyak 20 deretan gerai tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Utara Apas Wakuba Batu 15, di sini, malam Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
Katanya, setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan dua blok gerai jenis tidak kekal dengan setiap blok mempunyai 10 unit.
“Api dipercayai bermula dari lot tengah dan berdasarkan maklumat saksi, terdapat bunyi letupan dari lot berkenaan sebelum kebakaran berlaku dan merebak,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, satu unit gerai berkeluasan kira-kira 12×30 kaki dianggarkan terbakar 90 peratus dan api turut merebak ke unit lain dalam deretan sama.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan dari arah kiri dan kanan bangunan, menggunakan sumber air daripada jentera serta bantuan lori tangki.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 11.32 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada tengah malam,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Operasi membabitkan 18 anggota BBP Tawau dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah lori tangki.
Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota Bomba Komuniti, dua wakil Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

MARAK …. Api marak memusnahkan deretan gerai.







