KePKAS ambil tindakan tegas

Terhadap premis pelancongan tidak berlesen di Semporna

Oleh JOHN TAMBANAN


TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah memandang serius isu premis pelancongan dan pusat peranginan beroperasi tanpa lesen di daerah Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata beliau mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas di Majlis Daerah Semporna bagi menyemak status penguatkuasaan terkini, cabaran pematuhan, serta tindakan segera yang perlu diambil terhadap operasi premis tidak berlesen.
“Berdasarkan rekod semasa, sebanyak 190 premis pelancongan dikenal pasti beroperasi di daerah ini.
“Daripada jumlah itu, hanya 45 premis mempunyai lesen sah, 59 premis masih dalam proses kelulusan, manakala 86 premis lagi tidak mengambil inisiatif atau menghadapi pelbagai masalah pematuhan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jafry berkata isu utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Pekerjaan (OC) serta masalah berkaitan status tanah.
Sehubungan itu, KePKAS telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan pengeluaran lesen sementara kepada premis yang tidak memenuhi keperluan kawal selia sedia ada.
“Pada masa sama, tindakan tegas termasuk pemberhentian operasi akan dikenakan terhadap premis yang terus beroperasi tanpa pematuhan undang-undang,” tegas beliau.
Beliau menambah, kementeriannya memberi tempoh tiga bulan tambahan untuk pengusaha memohon lesen sejak Pasukan Petugas ditubuhkan pada Disember tahun lalu.
“Dengan baki kurang dua bulan sebelum tarikh akhir ini, saya menggesa semua pengusaha pelancongan mengambil tindakan segera dan mematuhi peraturan sedia ada bagi memastikan keselamatan pengunjung serta integriti industri pelancongan,” katanya.
Menurut Jafry, langkah itu penting bagi menegakkan standard keselamatan, pematuhan peraturan, kemampanan alam sekitar serta imej pelancongan Sabah.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang menjejaskan keselamatan pelancong atau reputasi industri pelancongan.
“KePKAS, bersama agensi berkaitan, akan terus memperkukuh penyelarasan penguatkuasaan sambil membantu pengendali yang komited mematuhi peraturan, memastikan industri pelancongan Semporna berkembang secara teratur, bertanggungjawab dan mampan,” katanya.

MESYUARAT …. Jafry (tengah) mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas di Majlis Daerah Semporna.