Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Program walkabout menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan komuniti setempat, khususnya ketika musim perayaan.
Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya berkata, menerusi pendekatan turun padang itu, pihaknya bersama Pejabat Parlimen, Pejabat DUN serta agensi berkaitan dapat menilai sendiri situasi sebenar di lapangan.
Menurut beliau, kaedah bersemuka dengan masyarakat membolehkan kerajaan memperhalusi penyelesaian terhadap pelbagai isu rakyat, sama ada melibatkan peniaga mahupun penduduk di kawasan perumahan yang dilawati.
“Ia memberi maklum balas yang lebih telus kerana kita bertemu secara langsung dengan masyarakat.
“Program walkabout bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan persediaan Ramadan amat penting kerana kita dapat menerima input serta pandangan secara efisien bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan dan penyelesaian isu setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout dan pengagihan kotak limau sempena Tahun Baharu Cina di deretan kedai Pekan Tanjung Aru dan Sembulan, pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya serta pemimpin setempat.
Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata, program berkenaan signifikan dalam mendekati para peniaga yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Tionghua di kawasan terbabit.
“Di Sabah, kita sentiasa mengamalkan toleransi tinggi antara kaum. Melalui program ini, kita turut berkongsi kemeriahan bersama masyarakat Tionghua dalam sambutan Tahun Baharu Cina.
“Selain mengagihkan limau, kita juga berpeluang berinteraksi dengan penduduk di Tanjung Aru dan Sembulan. Program ini merupakan acara tahunan di peringkat Parlimen Putatan,” katanya.

Shahelmey ketika mengadakan program walkabout bersempena Tahun Baharu Cina di Tanjung Aru dan Sembulan.





