KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Dr Yatimah Sarjiman sebagai Pengarah Syarikat, berkuat kuasa kelmarin.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dexter Lau berkata, Lembaga Pengarah menyambut baik pelantikan tersebut dan yakin pengalaman luas Dr Yatimah mampu menyumbang nilai signifikan kepada kumpulan dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
“Datuk Dr Yatimah membawa lebih tiga dekad rekod perkhidmatan awam yang cemerlang serta kepimpinan strategik dalam perancangan nasional, pembangunan ekonomi dan tadbir urus.
“Kedalaman pengalaman serta perspektif dasar beliau akan memperkukuh peranan Lembaga Pengarah ketika kami terus memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Yatimah memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam perancangan dasar awam, pengurusan sumber manusia dan kewangan, pembangunan ekonomi, pentadbiran wilayah dan sosial serta hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri.
Sepanjang 34 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian serta Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur dan Utiliti di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Terbaharu, ketika menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi Malaysia, beliau memainkan peranan penting dalam merangka Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut menyumbang kepada Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 serta Dasar Tenaga Negara 2022 dalam menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.
Selain peranan baharu di Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dr Yatimah kini menganggotai lembaga beberapa organisasi utama termasuk PETRONAS Gas Berhad, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Felda Investment Corporation Sdn Bhd, PR1MA Communications Sdn Bhd dan UEM Group Berhad.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Sistem Maklumat Perakaunan dari Idaho State University, Amerika Syarikat; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Perakaunan dan Kewangan dari Northrop University, Amerika Syarikat; serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia.
Lembaga Pengarah menzahirkan keyakinan bahawa pelantikan tersebut akan memperkukuh kerangka tadbir urus syarikat serta menyokong pencapaian objektif strategik Kim Teck Cheong Consolidated Berhad pada masa hadapan.-JT

Dr Yatimah (kiri) dan Dexter Lau (kanan).







