Konsulat India mampu lonjak pelancongan, perdagangan Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah menyambut baik pengumuman kerajaan India untuk menubuhkan konsulat di Kota Kinabalu.
Pengarah Hal Ehwal Komersial MCCC Sabah, Brian Ho berkata, langkah strategik itu diyakini mampu menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.
Menurutnya, kehadiran wakil diplomatik India di Sabah bakal memperkukuh hubungan dua hala selain memudah cara urusan pentadbiran, perniagaan serta kolaborasi ekonomi antara kedua-dua pihak.
“Inisiatif ini turut meningkatkan keyakinan pelabur dan pelancong untuk meneroka potensi Sabah sebagai destinasi strategik di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menyokong pandangan ahli MCCC, Datuk Abdul Kadir M.E. Sikkandar yang juga Penasihat kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah, yang konsisten menekankan potensi besar pasaran India terhadap pembangunan ekonomi negeri.
Brian berkata, meskipun Sabah memiliki tarikan bertaraf dunia seperti Gunung Kinabalu, kepulauan Semporna, hutan hujan tropika serta kepelbagaian hidupan liar, tahap kesedaran dalam kalangan pelancong India masih rendah berbanding destinasi popular seperti Bangkok, Singapura dan Dubai.
“Jurang ini sebenarnya adalah peluang strategik. Jika kita mampu menarik sebahagian kecil daripada 1.3 bilion penduduk India, impaknya amat signifikan kepada industri pelancongan Sabah.
“Trend pelancongan keluar dari India terus berkembang, didorong peningkatan pendapatan boleh guna serta pertumbuhan kelas pertengahan. Sabah perlu diposisikan secara lebih agresif dan tersusun dalam pasaran ini,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan konsulat itu juga dijangka memperkukuh kerjasama institusi serta memudah cara koordinasi antara perniagaan tempatan dan rakan kongsi dari India.
Langkah tersebut, katanya, berpotensi menyokong usaha promosi pelancongan yang lebih sistematik selain membuka ruang kepada pengembangan rangkaian penerbangan, termasuk kemungkinan memperkenalkan penerbangan terus pada masa hadapan.
Dalam aspek perdagangan, Brian menjelaskan peluang kerjasama antara Sabah dan India tidak terhad kepada eksport minyak sawit semata-mata.
Sebaliknya, potensi turut melibatkan sektor produk halal, pemprosesan agro, pelancongan perubatan, pendidikan, industri hospitaliti serta segmen MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran).
“Dalam landskap rantaian bekalan global yang semakin dinamik, Sabah perlu bersikap terbuka dan berpandangan jauh dalam membina jaringan perdagangan yang pelbagai.
“Hubungan ekonomi yang lebih luas dan seimbang akan memperkukuh daya tahan serta daya saing negeri dalam jangka panjang,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Sabah kekal mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan China sebagai rakan dagang utama negeri.
“MCCC Sabah akan terus berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama Malaysia–China serta menyokong usaha kerajaan negeri untuk memperluas hubungan ekonomi dengan India dan negara lain secara inklusif,” katanya.

Brian Ho