Dua kejadian banjir di Pantai Timur Sabah, 44 penduduk dipindahkan

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Seramai 44 penduduk terpaksa dipindahkan susulan dua kejadian banjir berasingan yang melanda dua daerah di pantai timur Sabah dalam tempoh 24 jam.
Kejadian pertama berlaku pada Jumaat apabila banjir kilat melanda Kampung Cocos dan Kampung Tulungan di daerah Paitan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 118 kilometer dari balai berkenaan.
Pasukan yang diketuai Komander Operasi, Arshad Kadir, tiba di lokasi pada jam 11.52 pagi dan melaksanakan operasi pemindahan dengan kerjasama pihak polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Seramai 20 mangsa yang terperangkap akibat peningkatan paras air berjaya dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).
Di PPS SMK Pamol, mangsa terdiri daripada dua lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak perempuan, seorang warga emas lelaki dan dua warga emas wanita, menjadikan jumlah keseluruhan 10 orang.
Sementara itu, di Dewan JPKK Kampung Cocos, mangsa yang dipindahkan melibatkan tiga lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak lelaki, juga berjumlah 10 orang.
Operasi tamat pada jam 6.00 petang selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan terkawal dan tiada lagi mangsa memerlukan bantuan.
Dalam kejadian kedua, banjir dilaporkan berlaku di Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau pada malam Sabtu. Panggilan kecemasan diterima pada jam 9.54 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau tiba di lokasi, kira-kira lapan kilometer dari balai, pada jam 10.02 malam.
Seramai 24 mangsa melibatkan 16 orang dewasa dan lapan kanak-kanak dipindahkan ke Dewan Komuniti Kampung Tanjung Batu Keramat.
Pihak berkuasa memaklumkan paras air beransur surut dan hujan telah berhenti ketika operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah malam.
JBPM bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terpelihara.

PINDAHKAN MANGSA …. Anggota bomba membantu memindahkan penduduk dari kawasan banjir di Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau pada malam Sabtu.