Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pertubuhan komuniti merupakan teras penting dalam memastikan kesejahteraan serta kestabilan Sabah terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sinergi yang kukuh antara kedua-dua pihak mampu memperkasa kestabilan sosial dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi rakyat.
“Saya percaya melalui semangat kerjasama ini, kita akan terus memperkukuh kestabilan sosial dan memajukan ekonomi rakyat.
“Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang menekankan prinsip keterangkuman serta pembangunan seimbang agar seluruh rakyat dapat menikmati hasil kemajuan negeri,” katanya ketika berucap pada Festival Angpow anjuran Federation of Chinese Associations Sabah (FCAS) di Dewan Hakka, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Menurut Hajiji, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina di seluruh Sabah dan Labuan memainkan peranan signifikan dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
“Festival ini bukan sekadar acara perayaan, tetapi simbol perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Kehadiran kita pada hari ini mencerminkan keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan Sabah.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menghargai kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan dan FCAS dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan sosial, aktiviti kebudayaan serta pembangunan komuniti di negeri ini,” katanya.

YEE SANG …. Dr Joachim (tiga kiri) bersama tetamu menggaul dan melambung yee sang sebagai simbolik pelancaran acara perayaan.







