Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan menerusi Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar daerah ini pada 24 dan 25 Februari lalu.
Operasi yang melibatkan seramai 24 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu berjaya memeriksa seramai 72 individu yang terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, hasil operasi selama dua hari itu, seramai 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semua warga asing ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tangkapan melibatkan warganegara Indonesia iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.
“Manakala selebihnya adalah warganegara Filipina terdiri daripada lapan lelaki, 12 wanita serta 22 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Sehubungan itu katanya, operasi penguatkuasaan JIM Negeri Sabah akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi.
“Sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan diambil tindakan tegas dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Ia sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan Negeri Sabah,” katanya.

TAHAN ….. Operasi Op Kutip dan Op Sapu dilaksanakan selama dua hari di beberapa lokasi sekitar bandaraya Kota Kinabalu.







