Seorang lagi penjawat awam ditahan bantu siasatan salah laku Program Rumah SMJ

Oleh JAMES LEONG


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi penjawat awam negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menjadi tumpuan umum sejak 48 jam lalu.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari Rabu ketika hadir di pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 secara berperingkat.
“Siasatan mendapati wang rasuah berkenaan dipercayai dimasukkan menerusi dua transaksi pemindahan dana dalam talian ke akaun bank peribadi suspek serta akaun milik anaknya,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Program Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Bagaimanapun, dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan program itu kini menjadi perhatian selepas dilaporkan media tempatan.
Siasatan lanjut masih dijalankan.

MOHD FUAD BEE BASRAH