968 sekolah daif di Sabah, 30 daripadanya di Tuaran – KPM

KOTA KINABALU: Sebanyak 968 sekolah di Sabah dikenal pasti mempunyai bangunan daif setakat 31 Disember 2025, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Perkara itu dimaklumkan KPM dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, yang meminta kementerian menyatakan jumlah bangunan sekolah yang telah diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara, termasuk sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.
Menurut KPM, kementerian sentiasa komited memastikan kemudahan sekolah mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan kondusif, demi menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah.
“Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 968 sekolah dikenal pasti mempunyai bangunan daif, iaitu dikategorikan pada Skala 7. Data ini bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa,” menurut jawapan kementerian itu pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, 30 sekolah di Parlimen Tuaran dikenal pasti berada dalam kategori Skala 7. Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tenghilan.
Sementara itu, semakan KPM mendapati bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens berada dalam kategori Skala 6, yang memerlukan kerja naik taraf dan penyelenggaraan, namun tidak diklasifikasikan sebagai daif pada tahap paling kritikal.
Isu sekolah daif di Sabah terus menjadi perhatian, khususnya melibatkan aspek keselamatan pelajar dan guru serta keperluan peruntukan pembangunan yang lebih menyeluruh bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berkualiti.-JT

MADIUS TANGAU