ADUN Warisan desak siasatan menyeluruh

Pemantauan lebih ketat terhadap Program Rumah Mesra SMJ

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan Sabah memandang serius penahanan seorang lagi penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan pemberian projek Perumahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Mereka ialah Calvin Chong (Elopura), Lisa Alban (Sungai Sibuga), Alias Hj. Sani (Sekong), Arunanarsin Taib (Gum-Gum), Alex Wong (Karamunting) dan Alex Thien (Tanjong Papat).
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mendedahkan penahanan terbaharu itu pada Selasa, mereka menegaskan bahawa penyalahgunaan projek yang diwujudkan untuk membantu golongan memerlukan demi kepentingan peribadi adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan tidak boleh diterima sama sekali.
Menurut mereka, sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Program perumahan seperti Rumah Mesra SMJ diwujudkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan tempat tinggal yang selamat dan bermaruah, bukannya menjadi ruang untuk kepentingan peribadi, kronisme atau manipulasi kuasa,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menggesa SPRM menjalankan siasatan yang tegas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
“Siasatan, tegas mereka, tidak seharusnya terhad kepada individu yang telah ditahan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian proses termasuk kelulusan projek, pemilihan kontraktor, aliran kewangan serta kemungkinan penglibatan pihak lain secara langsung atau tidak langsung.
“Sekiranya terdapat unsur rangkaian atau sistem yang membolehkan penyelewengan ini berlaku, ia mesti dibongkar sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, mereka turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh hanya menunggu hasil siasatan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab proaktif untuk memantau perkembangan kes serta melaksanakan langkah pembetulan dengan segera.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk memperketat sistem pemantauan penganugerahan projek, memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, meningkatkan ketelusan dalam proses kelulusan serta memastikan audit berkala dilaksanakan ke atas semua program bantuan perumahan awam.
Mereka juga menuntut agar hasil siasatan dan tindakan susulan didedahkan kepada umum bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran.
“Rakyat berhak mengetahui bagaimana dana awam diurus dan apakah langkah yang diambil bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” tegas mereka.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa integriti dalam perkhidmatan awam bukan pilihan, tetapi satu kewajipan.
“Tiada mana-mana pihak wajar dilindungi sekiranya didapati bersalah, tanpa mengira kedudukan atau status.
Enam ADUN berkenaan memaklumkan mereka akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan mendesak tindakan tegas diambil sehingga ke peringkat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh.
Menurut mereka, perjuangan menentang rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten, berprinsip dan tanpa kompromi demi menegakkan keadilan, memelihara integriti serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

SPRM