LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi gagal apabila berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Lahad Datu, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, semua kayu yang dibawa menggunakan dua bot tanpa nombor pendaftaran berkenaan ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bertindak atas maklumat risikan, bot berwarna merah jambu dan hijau itu dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot bertindak memecut laju dan melarikan diri ke dalam paya bakau.
“Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan.
“Semua kayu berkenaan dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi,” katanya lagi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta kanun keseksaan atas kesalahan memiliki serta membawa barangan curi.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan bernilai RM8,000 dan semua kayu dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulfikhar menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.-FB

DIRAMPAS …. Bot tanpa nombor pendaftaran dirampas selepas dikesan membawa kayu dipercayai hasil curi.






