Suspek kes bunuh dan kerat dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Suspek kes bunuh dan kerat wanita berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Tertuduh, Piluta Samad yang berusia 71 tahun didakwa membunuh Hamidah Husin @Lisa, pada 11 Februari lalu antara jam 6 hingga 7 malam.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil dari tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Dzul Elmy Yunus kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 15 April depan bagi mendapatkan laporan penuh kimia, forensik, patologi dan Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Kareena Kaut Gill Katamjit Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kejadian terbongkar pada jam 6.30 pagi, 12 Februari lalu, selepas beberapa bahagian mayat wanita ditemukan ldibuang di beberapa lokasi pusat pembuangan sampah sekitar Indah Permai.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek sebelum tiga lagi anak suspek turut ditahan dalam beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

SUSPEK dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu untuk dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.