Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pejabat ADUN N.24 Tanjung Keramat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan menganjurkan program Cahaya Aidilfitri yang akan berlangsung dari 10 hingga 18 Mac ini.
Pengerusi penganjur, Mohd Ruzaini Zulkepli berkata, penganjuran program tersebut terbuka khusus kepada penduduk di lokaliti DUN Tanjung Keramat sahaja dan penyertaan adalah percuma tanpa sebarang bayaran yuran.
Katanya, program itu merupakan inisiatif bersama ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY), dengan pendaftaran penyertaan dibuka secara rasmi mulai hari ini dan akan ditutup pada 9 Mac 2026.
Menurutnya, pertandingan Cahaya Aidilfitri menawarkan dua kategori iaitu pertandingan lampu pelita (susul) dan lampu berhias (colorlight).
“Bagi kategori lampu pelita (susul), johan akan membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper, tempat kedua RM1,000 berserta hamper dan tempat ketiga RM800 berserta hamper, manakala 12 pemenang saguhati akan menerima wang tunai RM200.
“Bagi kategori lampu berhias (colorlight) pula, hadiah yang ditawarkan adalah sama iaitu RM1,500 berserta hamper untuk johan, RM1,000 berserta hamper bagi tempat kedua dan RM800 berserta hamper untuk tempat ketiga, selain 12 pemenang saguhati yang masing-masing menerima RM200,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran program Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat yang diadakan di Pejabat UPPM Tanjung Keramat, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; serta Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.
Mengulas lanjut, Mohd Ruzaini berkata, penyertaan boleh dibuat melalui borang dalam talian menggunakan aplikasi Google Form yang boleh diakses menerusi pautan atau kod QR yang disiarkan di platform media sosial, hebahan media dan aplikasi WhatsApp.
“Tarikh penyertaan dibuka mulai hari ini (5 Mac) dan akan ditutup pada 9 Mac (Isnin). Terma dan syarat pertandingan turut disertakan dalam borang Google Form berkenaan,” katanya.
Sementara itu, mengenai aspek keselamatan, beliau berkata pihak penganjur turut mendapatkan pandangan serta nasihat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.
“Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak bomba melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, setiap peserta disarankan menyediakan alat pemadam api sebagai langkah keselamatan.
“Selain itu, kumpulan juri akan membuat penilaian pada dua malam kemuncak bagi menentukan para pemenang berdasarkan beberapa kriteria termasuk aspek kreativiti, kekemasan, keceriaan dan kebersihan,” katanya.
Menurutnya, program Cahaya Aidilfitri dianjurkan bagi menyemarakkan suasana Ramadan dan Syawal di samping menggalakkan kreativiti komuniti di DUN Tanjung Keramat.
“Program ini juga bertujuan menghidupkan kembali budaya pemasangan lampu pelita tradisional serta menyemai semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

JAWATANKUASA …. Mohd Ruzaini (tengah) bersama jawatankuasa penganjur program Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat.





