Penjual rokok haram di Sabah akan dibanteras – KKTP

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah menegaskan tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di seluruh negeri, lebih-lebih lagi jika mereka bertindak secara samseng.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Fairuz Renddan berkata, tindakan tegas akan diambil bagi membanteras kegiatan penjualan rokok haram di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kita akan membanteras dan mengusir golongan ini. Samseng seperti ini tidak akan dibenarkan menjejakkan kaki serta menjual rokok yang jelas dilakukan secara haram di kawasan PBT, bukan sahaja di Sandakan tetapi di seluruh negeri.
“Insiden malang di Sandakan amat tidak wajar. Mulai sekarang, kementerian akan mengambil tindakan lebih tegas supaya golongan samseng ini tidak lagi mempunyai ruang untuk menjaja rokok haram,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular di media sosial yang memaparkan seorang anggota penguat kuasa cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki yang bertindak ganas.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok supaya tidak menjual rokok di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan kira-kira jam 2.30 petang Sabtu.
Fairuz berkata, kesalahan menjual rokok haram dan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Namun, kementerian akan memperhebat usaha bagi mengekang kegiatan penjualan rokok berkenaan di kawasan PBT.
“Kita ingin mengingatkan semua penjual rokok haram di kawasan PBT seluruh Sabah supaya menghentikan kegiatan ini segera. Jangan cuba menunjukkan sikap samseng apabila ditegur oleh pegawai bertugas.
“Apa yang dilakukan adalah satu kesalahan dan mereka seharusnya akur dengan teguran yang diberikan. Sebaliknya, mereka bertindak seolah-olah pemilik kawasan dan bertindak ganas terhadap pegawai yang menjalankan tugas.
“Jangan ulangi kejadian seperti ini. Saya tegaskan, jangan cuba mengulangi insiden seumpama ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kementerian sentiasa berusaha memastikan keselamatan serta keharmonian di semua kawasan PBT terus terpelihara.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan PBT akan berdepan tindakan tegas serta hukuman setimpal.
“Kawasan awam sepatutnya selamat, harmoni dan aman kerana orang ramai menjalankan aktiviti harian selagi tidak melanggar undang-undang negara.
“Jika ada pihak yang mementingkan diri, mahu menunjuk kekuatan atau bertindak seolah-olah pemilik kawasan sehingga sanggup memukul pegawai yang bertugas, kita tidak akan memandang ringan perkara ini,” katanya.

FAIRUZ RENDDAN