Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah perlu disiapkan segera kerana ia merupakan nadi perhubungan utama yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri ini, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Sehubungan itu, Matbali berkata beliau akan terus mengangkat isu berkaitan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sehingga ia dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Lebuh raya ini amat penting kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah sudah jauh ketinggalan berbanding di Sarawak.
“Justeru, saya akan membawa isu ini sekali lagi dalam perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan bersama media di sini, semalam.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata, isu projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen kerana beliau mahu menyampaikan suara dan harapan rakyat Sabah.
“Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.
“Namun kita akan terus memantau perkembangannya, khususnya di kawasan Parlimen Sipitang melibatkan jajaran Sindumin–Melalia–Beaufort,” katanya.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan serta perkembangan terkini mengenai pelaksanaan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.
Menurut Ahmad, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti mengalami kelewatan berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega tersebut.
Katanya, kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak projek.

KENANGAN …. Matbali (tengah) merakam gambar kenangan bersama pengamal media yang hadir.









