Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah perlu siap segera – Matbali

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah perlu disiapkan segera kerana ia merupakan nadi perhubungan utama yang sekali gus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini, kata Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah.
Sehubungan itu, Matbali berkata beliau akan terus mengangkat isu berkaitan pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan sehingga ia disiapkan sepenuhnya.
“Lebuh raya ini penting kerana pelaksanaan keseluruhan projek di Sabah masih jauh ketinggalan berbanding di Sarawak.
“Justeru, saya akan membawa isu ini sekali lagi dalam perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat Malaysia pada Jun depan,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar Ramadan bersama pengamal media di sini.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata isu projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen kerana ia mewakili suara dan aspirasi rakyat di Sabah.
“Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang terdapat kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.
“Justeru, kita akan terus memantau perkembangannya, khususnya di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu jajaran Sindumin–Melalia–Beaufort,” katanya.
Beliau berkata langkah itu penting supaya Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan serta perkembangan terkini mengenai pelaksanaan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega tersebut.
“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,” katanya.

CERIA …. Matbali Musah (tengah) merakam gambar kenangan bersama pengamal media yang hadir.