Rakyat perlu bersiapsiaga – Mustapha

Hadapi ketidaktentuan global dan kenaikan harga minyak

KOTA KINABALU: Dunia ketika ini berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan ketegangan melibatkan Iran di rantau Timur Tengah yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud berkata konflik di rantau berkenaan lazimnya menyebabkan harga minyak dunia melonjak, dan kesannya turut dirasai oleh banyak negara termasuk Malaysia.
Menurut beliau, sebagai negara pengeluar minyak melalui Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Malaysia mungkin memperoleh manfaat daripada kenaikan harga minyak. Namun pada masa sama, peningkatan kos dalam rantaian tenaga serta beban subsidi bahan api juga boleh meningkat dan memberi tekanan kepada ekonomi negara.
“Kerajaan MADANI bagaimanapun terus melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI. Harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaannya supaya rakyat tidak terbeban.
“Ketika ini kerajaan menanggung sekitar RM3.2 bilion setiap bulan bagi subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion untuk RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel. Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra dan majlis berbuka puasa bersama media di sebuah restoran terkemuka di sini semalam.
Mustapha turut menjelaskan bahawa Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi memastikan kos pengangkutan, logistik serta keperluan harian rakyat di kedua-dua wilayah tersebut tidak meningkat secara mendadak.
Langkah itu, katanya, penting untuk melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan darat dan laut bagi bekalan barangan.
“Jika dibandingkan dengan negara jiran di rantau Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Malaysia masih antara negara dengan harga petrol paling rendah. Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapore boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan subsidi dengan lebih berhemah.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat. Namun menghadapi cabaran global hari ini memerlukan kerajaan dan rakyat bergerak sebagai satu pasukan dalam sebuah negara Malaysia yang berdaulat,” katanya.-JT

KENANGAN …. Mustapha Sakmud (tengah) merakam gambar kenangan bersama pengamal media pada majlis tersebut.