PUTATAN: Program Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat melabuhkan tirai dengan penuh gemilang apabila dua pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta hamper, sekali gus mencerminkan semangat komuniti yang semakin menyala menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pertandingan yang mempertaruhkan dua kategori iaitu lampu pelita ‘susul’ dan lampu berhias itu berjaya menarik penyertaan seramai 45 peserta melibatkan tujuh lokaliti kampung sekitar Tanjung Keramat.
Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya, berkata penganjuran sulung program tersebut berjaya mencapai objektif yang digariskan, malah melepasi jangkaan awal dari segi penyertaan dan sambutan.
“Program ini bermula daripada cetusan idea pihak pengurusan Pejabat DUN dan UPPM Tanjung Keramat, seterusnya direalisasikan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Putatan.
“Pada awalnya kita menyasarkan sekitar 30 penyertaan, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga mencecah 45 peserta. Ini menunjukkan keterlibatan komuniti yang sangat positif,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah utama di Kampung Pituru, Taman Pantai Lok Kawi, di sini.
Beliau menambah, inisiatif tersebut akan diteruskan sebagai acara tahunan dengan penambahbaikan berterusan bagi memastikan impaknya lebih menyeluruh kepada masyarakat.
Bagi kategori pelita ‘susul’, tempat pertama dimenangi oleh Mazlan Mayut dari Kampung Pituru, diikuti Mohd Khairi Abd Latip dari Kampung Pasir Putih sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang Muhammad Annas Mahadzir dari Kampung Lembising.
Sementara itu, kategori lampu berhias menyaksikan Baijuri Deris dari Kampung Muhibbah muncul juara, diikuti Shahrizal Azman dari Kampung Contoh di tempat kedua dan Rina M Abdullah dari kampung yang sama di tempat ketiga.
Setiap pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper, diikuti RM1,000 bagi tempat kedua dan RM800 bagi tempat ketiga.-JT

KENANGAN …. Para pemenang bergambar kenangan bersama Shahelmey Yahya dan jawatankuasa penganjur Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat.






