Kerajaan perkukuh langkah proaktif – Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan Persekutuan memperkukuh sinergi strategik bagi memastikan rantaian bekalan bahan api di Sabah kekal stabil, responsif dan berdaya tahan dalam mendepani sebarang risiko gangguan pasaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jaminan bekalan petrol dan diesel yang konsisten merupakan nadi utama kepada kelangsungan ekosistem ekonomi negeri, khususnya sektor logistik, perikanan dan pertanian yang menjadi tulang belakang pembangunan Sabah.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Menurutnya, pertemuan berimpak tinggi itu menjadi platform penyelarasan dasar dan tindakan antara kerajaan negeri serta Persekutuan dalam menangani kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan bahan api, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Sementara itu, Armizan memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui KPDN komited melaksanakan pendekatan proaktif dan berskala besar bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi serta stabil.
“Kerajaan sentiasa memperhebat pemantauan rantaian bekalan selain memperkukuh koordinasi bersama agensi berkaitan bagi menutup sebarang jurang yang boleh mencetuskan gangguan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan bersepadu yang dilaksanakan bukan sahaja bersifat reaktif, tetapi turut mengangkat elemen pencegahan awal bagi memastikan keseimbangan pasaran terus terpelihara.
Dalam perkembangan sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang membentangkan kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah.
Taklimat tersebut turut merangkumi inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City) yang dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi digital dan pemodenan perkhidmatan bandar, selari dengan aspirasi pembangunan mampan negeri.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin serta pegawai kanan suruhanjaya itu.

BERBINCANG …. Hajiji (kiri) berbincang bersama Armizan ketika kunjungan hormat di Menara Kinabalu, pada Selasa.




