LABUAN: Program Pengagihan Pakaian ‘Preloved’ sempena Kongsi Rezeki Raya 2026 anjuran Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat apabila berlangsung di Dewan Utama UMSKAL, Sabtu lalu.
Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin turut hadir memberikan sokongan moral, sekali gus menyerlahkan komitmen institusi dalam memperkasa agenda kebajikan komuniti.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran Kolej Kediaman UMSKAL serta Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL), sebagai satu inisiatif strategik yang menghubungkan warga universiti dengan masyarakat sekitar.
Pengerusi penganjur yang juga Pensyarah PPIB, Nur Shafiekah Sapan berkata, program ini bertujuan membantu masyarakat di Labuan mendapatkan pakaian secara percuma dalam suasana yang tersusun dan kondusif, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Selain meringankan beban golongan memerlukan, program ini turut menggalakkan amalan kitar semula pakaian serta mengurangkan pembaziran tekstil dalam komuniti,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif tersebut bukan sekadar platform kebajikan, malah menjadi medium untuk menyemai nilai empati, semangat kebersamaan dan budaya berkongsi rezeki dalam kalangan warga universiti serta masyarakat setempat.
Pelbagai jenis pakaian disediakan kepada pengunjung, termasuk baju Melayu, baju kurung, blaus, jubah, pakaian kanak-kanak, seluar dan skirt yang masih berada dalam keadaan baik hasil sumbangan warga universiti serta penduduk Labuan.
Program itu turut disokong oleh Pengetua Kolej Kediaman UMSKAL, Ts. Hadzariah Ismail dan Timbalan Pengerusi Tetap KEBAL, Azlin Lamit, menerusi kerjasama erat antara institusi dan komuniti.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah bermurah hati menjayakan program berkenaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat Labuan.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja berjaya membantu golongan memerlukan, malah memperkukuh amalan kelestarian melalui penggunaan semula pakaian yang masih elok. Ia juga diharapkan dapat diteruskan sebagai program tahunan berimpak tinggi dalam memperkasa kesejahteraan komuniti.
Nur Shafiekah turut merakamkan penghargaan kepada Penyelaras PPIB-KAL, serta Pengerusi KEBAL, Ts. Ahmad Nazri Haji Jamal atas sokongan padu menjayakan program tersebut.
“Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program ini,” katanya.

HADIR …. Prof. Dr. Shamsul Bahari (lima kanan), Nur Shafiekah (enam kanan) dan Azlin (dua kiri) menghadiri Program Pengagihan Pakaian ‘Preloved’ sempena Kongsi Rezeki Raya 2026 di Dewan Utama UMSKAL, Sabtu lalu.





