Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Seorang warga emas maut dalam kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah kayu atas air di Kampung Mumiang, kira-kira 70 kilometer dari sini, pada malam Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Lee Thung Mong, 77, dipercayai terperangkap di dalam rumah berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki itu.
Mangsa yang mempunyai masalah pergerakan dan bergantung kepada tongkat tidak sempat menyelamatkan diri, manakala adiknya yang turut tinggal bersama berjaya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap dapur.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 7.19 malam.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dikerahkan ke lokasi dengan bantuan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut Pegawai Bomba Kanan I Jimmy Lagung, pasukan penyelamat berdepan cabaran besar untuk tiba ke lokasi berikutan tiada akses darat selain keadaan air surut yang menyukarkan pergerakan bot.
Pasukan akhirnya tiba di lokasi kejadian pada jam 11.40 malam.
“Sebaik tiba, didapati penduduk kampung telah memulakan usaha memadam kebakaran menggunakan pam air sendiri.
“Mangsa pula ditemui terlebih dahulu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman sisa kebakaran serta mengeluarkan mayat mangsa dari struktur rumah yang musnah.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan lapan anggota APMM, lima anggota PGA serta lapan anggota polis, diketuai Komander PBK I Chauslim Sunsubin bersama Jimmy Lagung dan Pegawai Zon Sandakan Mohd Faizal Wahid.
Sementara itu di Semporna, kes orang hilang melibatkan seorang anggota tentera dilaporkan selesai.
Fredenick Anak Petrus, 21, yang sebelum ini dilaporkan hilang, ditemukan dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, Sarawak oleh Polis Tentera kira-kira jam 5 petang pada 19 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna mengesahkan kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai selesai serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama diberikan.

TERBAKAR …. Seorang warga emas rentung dalam kebakaran rumah atas air di Kampung Mumiang, kira-kira 70 kilometer dari Sandakan, pada malam Selasa.





