Pemakluman berterusan isu gelombang haba dialu-alukan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pemakluman berterusan kepada rakyat Sabah berhubung kesan fenomena gelombang haba ketika ini amat dialu-alukan, kata Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed.
Beliau berkata, langkah penyampaian maklumat secara konsisten dan tepat pada masanya penting bagi memastikan rakyat sentiasa bersedia menghadapi sebarang implikasi, khususnya apabila fenomena tersebut diramal berlarutan sehingga Jun depan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Sabah perlu mempunyai pelan tindakan awal bagi menangani kemungkinan gangguan bekalan air bersih.
“Pendekatan mitigasi perlu diperincikan dengan jelas, termasuk langkah mengurangkan impak sekiranya berlaku krisis kekurangan sumber air,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, mengenai pemantauan berterusan terhadap sumber air bersih di Sabah susulan fenomena gelombang haba yang kini memasuki minggu ketiga.
Jeffery menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tepat pada masanya serta memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negeri dipantau secara rapi bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Sekiranya berlaku penurunan kapasiti atau volum air di mana-mana LRA, pemakluman awal kepada pengguna amat penting supaya langkah penyimpanan dan penjimatan air dapat dilaksanakan secara berhemah.
“Kita berharap Jabatan Air Sabah dapat menyalurkan maklumat lebih awal sekiranya berlaku gangguan bekalan, agar situasi tersebut tidak disalah tafsir dan pengguna dapat mengambil langkah proaktif demi kepentingan bersama,” katanya.

Jeffery Nor Mohamed.