KOTA KINABALU: Amalan rumah terbuka yang sekian lama berakar dalam tradisi masyarakat di Sabah terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum.
Budaya ini bukan sahaja mencerminkan keunikan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negeri ini, malah berfungsi sebagai platform inklusif yang merapatkan hubungan tanpa mengira latar belakang sosial, budaya mahupun kepercayaan.
Di Sabah, sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri diraikan dalam suasana penuh muhibah, apabila pintu rumah sentiasa terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Semangat keterbukaan ini turut terserlah dalam perayaan lain seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan, yang diraikan bersama dengan nilai kekeluargaan, hormat-menghormati serta kebersamaan yang utuh.
Manifestasi keharmonian ini jelas terpancar apabila Exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Shazlina Fong, menganjurkan majlis rumah terbuka di Riverson dalam suasana sederhana namun meriah.
Majlis tersebut menghimpunkan rakan-rakan serta saudara-mara daripada pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang terus subur.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, serta Ketua Wanita LDP, Glenna Wong yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Likas, bersama barisan kepimpinan LDP Bahagian Likas.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini membuktikan bahawa nilai perpaduan dan keharmonian di Sabah kekal kukuh, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada negara dalam membina masyarakat yang bersatu padu.
Sehubungan itu, tradisi rumah terbuka wajar terus dipelihara dan diperkasa sebagai simbol perpaduan serta identiti unik Sabah yang harmoni dan inklusif.-JT

KENANGAN … Shazlina Fong merakam kenangan bersama Datuk Redonah Bahanda dan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.





