SEMUA PIHAK PERLU BERTINDAK BERSAMA TANGANI ISU BULI

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Semua pihak khususnya Ibubapa, guru, orang awam dan rakan sekolah, perlu bekerjasama memainkan peranan aktif dalam menangani kejadian buli.
Ia termasuk tindakan segera mendapatkan bantuan atau melaporkan insiden kepada pihak berkenaan bagi memastikan keadaan dapat dibendung sebaiknya.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, ketika berlaku insiden buli atau pergaduhan, mereka yang menyedari keadaan itu perlu melaporkan kepada guru sekolah ataupun mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Katanya, pihak sekolah pula perlu melakukan perbincangan dan mengambil pendekatan bersesuaian bagi menyelesaikan konflik antara pelajar termasuk berbincang dengan ibu bapa pelajar terlibat.
“Ibu bapanya pun jangan terlalu percaya cakap anak dan perlu cakna untuk mendidik anak. Ia bermula daripada rumah dan dalam kebanyakan kes yang terlibat dalam buli ini datang daripada keluarga bermasalah sehingga perlukan perhatian luar.
“Kita kena sentiasa berkomunikasi dengan anak dan isteri agar keluarga lebih harmoni dalam mencegah berlakunya perkara-perkara tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Townhall Discussion “Buli Bukan Gurauan” Sekolah Selamat, Pelajar Sejahtera 2026 di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada Rabu.
Mohd Azhar berkata, saksi juga perlu memastikan bukti berkaitan kejadian dipelihara bagi membantu tindakan susulan dan siasatan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan rakaman video kejadian dengan menyebarkannya secara terbuka di media sosial sehingga boleh menjejaskan pihak yang terlibat, khususnya mangsa.
Katanya, rakaman berkenaan sepatutnya digunakan sebagai bahan bukti untuk membantu siasatan, bukannya dijadikan kandungan untuk mendapatkan perhatian atau menjadi tular.
“Semua bukti termasuk rakaman kejadian perlu dijaga dengan baik dan bukan ditularkan untuk lendapat keuntungan semata-mata.
“Sebaliknya serahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan sebaiknya demi keadilan semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azhar menyeru semua pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam usaha membendung gejala buli.
Katanya, usaha menangani masalah berkenaan memerlukan kerjasama berterusan semua pihak agar budaya buli dapat dikekang dan akhirnya dihapuskan daripada persekitaran sekolah.

Mohd Azhar menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.