JANGAN JADIKAN AGAMA SENJATA POLITIK – MUSTAPHA

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajal amat dikesali, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, sebagai seorang tokoh agama yang disegani, kenyataan sedemikian berpotensi mengelirukan umat Islam di Sabah, khususnya apabila istilah keagamaan yang berat digunakan untuk mempertikaikan perbezaan strategi politik.
“Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran sedemikian hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima,” katanya dalam kenyataan.
Mustapha berkata, kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang sekian lama menjadi identiti Sabah merupakan kekuatan yang menyatukan rakyat, bukannya alasan untuk mencetuskan permusuhan.
“Apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata?
“CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, pendekatan CSA turut pernah dilaksanakan ketika PAS berada dalam kerajaan.
“Jadi, adakah PAS juga Dajal?” soalnya.
Sehubungan itu, Mustapha menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan negeri ini serta menolak budaya politik yang memperalatkan agama demi kepentingan kuasa.
“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecahbelahkan. Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri.
“Sebaliknya, kita sepatutnya mencari titik persamaan dalam menjaga keharmonian masyarakat, di samping saling menghormati perbezaan antara satu sama lain,” katanya.

MUSTAPHA.