Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo yang membawa petrol, barangan kawalan berjadual serta baja amonium nitrat tanpa kebenaran dalam operasi penguatkuasaan, semalam.
Bot berkenaan berjaya ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton, Pulau Banggi.
Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata,hasil maklumat risikan, sepasukan anggota dan pegawai melakukan pemantauan sebelum berjaya mengesan bot kargo di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan oleh empat individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Filipina, berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
“Semua individu terbabit terus ditahan manakala bot kargo dan barangan yang dianggarkan bernilai RM150,000 dirampas untuk tindakan lanjut.
“Bot berkenaan kemudiannya diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat bagi menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, penahanan tersebut merupakan hasil risikan serta kecekapan anggota operasi dalam mengesan dan mengekang aktiviti mencurigakan di perairan Pulau Banggi.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan maritim bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta melindungi keselamatan dan kepentingan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbullah meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara disalurkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan penguatkuasaan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858 untuk tindakan segera.

Empat suspek melibatkan seorang tempatan dan tiga warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.- Gambar MARITIM MALAYSIA





