Kerajaan komited laksana reformasi penyasaran subsidi secara berfasa

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa dakwaan Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil dalam pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan dasar sebenar kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sejak awal tidak pernah menyatakan bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah berkenaan, sebaliknya ia dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan kesiapsiagaan mekanisme pelaksanaan.
Menurutnya, dasar utama kerajaan adalah memperkukuh reformasi penyaluran subsidi melalui pendekatan bersasar, iaitu memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus meningkatkan kecekapan fiskal negara.
“Reformasi ini merupakan satu anjakan besar dalam landskap pengurusan subsidi negara. Justeru, mekanisme pelaksanaannya perlu dirangka dengan teliti dan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan keberkesanan serta meminimumkan impak kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, langkah awal telah dimulakan pada 2024 menerusi penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, diikuti pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara pada 2025.
“Alhamdulillah, kedua-dua inisiatif ini berjalan lancar dan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengulas perkembangan semasa, Armizan berkata Kementerian Kewangan kini sedang meneliti kerangka cadangan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan.
Katanya, sebarang mekanisme yang dimuktamadkan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan kesesuaian serta penerimaan di peringkat akar umbi.
“Prinsip asasnya, subsidi diesel akan terus diberikan, namun secara bersasar bagi mengekang ketirisan termasuk penyelewengan dan penyeludupan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mempunyai beberapa model sedia ada seperti BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang akan dijadikan rujukan dalam merangka pendekatan terbaik.
“Namun, pendekatan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan perlu mengambil kira faktor unik seperti struktur geografi, kebergantungan tinggi kepada diesel serta cabaran logistik. Pandangan pihak berkepentingan juga akan diambil kira secara inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan persepsi bahawa subsidi diesel tidak lagi diberikan di Semenanjung Malaysia juga adalah tidak benar.
“Subsidi masih diteruskan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI, khususnya kepada sektor pengangkutan darat dan pengangkutan barangan serta kumpulan sasar tertentu,” katanya.
Armizan berkata, pelaksanaan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya susulan beberapa faktor utama, termasuk kebergantungan tinggi terhadap diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan asas yang ketara berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa kos logistik yang tinggi, khususnya pengangkutan laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, menyumbang kepada peningkatan harga barangan.
“Keadaan ini mewujudkan jurang harga yang signifikan berikutan kos pengangkutan dan kebergantungan kepada import,” katanya.

ARMIZAN