Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang menggaji kru tanpa permit sah dalam operasi rondaan kira-kira 0.70 batu nautika utara Pulau Manukan, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pasukan operasi menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan mendapati seramai 12 kru termasuk nakhoda berada di atas vesel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, lima daripadanya disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan Pas Lawatan Sosial tanpa permit kerja yang sah.
“Dalam masa sama, bot berkenaan turut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa jumlah kru mencukupi seperti ditetapkan pihak pelabuhan,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Khairulanuar berkata, semua kru ditahan berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun itu dan merupakan warganegara Indonesia.
“Bot bersama kru kemudiannya diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut. Maritim Malaysia turut menyita vesel berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2 juta.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kesalahan imigresen dan keselamatan pelayaran.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Khairulanuar menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya

DITAHAN … Seramai 12 kru termasuk nakhoda ditahan untuk siasatan mengikut akta Imigresen.






